SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI DARI KAMI SEKELUARGA

Thursday, April 23, 2009

AJKT Dan Mutazawwijin Tanta Di Iskandariah Bersua Muka

17 April – Satu jaulah yang diketuai oleh al-Fadhil Ustaz Mohd Faizol bin Endut telah diadakan untuk mengziarahi ahli DPMT Mutazawwijin di Iskandariah baru-baru ini. Turut sama menyertai jaulah berkenaan, Penasihat 1 DPMT Ustaz Wan Hadiyuddin Wan Mahmood selain daripada Ustaz Khairul Anwar bin Isnin, Ustaz Muhammad Zahidi bin Mat Noh dan Ustaz Mazwan Mohamad

Bertolak pada jam 9.30 pagi, rombongan AJKT akhirnya tiba di Perhentian ‘Asafirah tepat jam 12.00 tengahari. Setelah selesai solat Jumaat, AJKT disambut mesra oleh wakil ahli DPMT Mutazawwijin, al-Fadhil Ustaz Zulfauzi yang juga merupakan mandub PMRAM di Iskandariah dan beliau membawa AJKT ke rumahnya yang terletak tidak jauh daripada ‘Asafirah.

Setelah tiba di rumah beliau, barisan AJKT yang hadir berehat sebentar sementara menunggu ‘pak-pak adam’ yang lain hadir bersama dalam pertemuan yang dirancang selama hampir seminggu. Berdasarkan data ahli yang tersimpan, kini terdapat sepuluh pasangan ahli DPMT yang mendiami Muhafazah Iskandariah dan diberitakan terdapat ura-ura yang mengatakan bahawa akan ada yang menyusuli jejak langkah mereka.

Dengan kesempatan yang ada, barisan AJKT berterima kasih di atas kesudian mereka meluangkan masa bagi bersua muka dan mempereratkan tautan ukhuwah sesama saudara walau pun tiga pasangan daripada mereka tidak dapat menghadirkan diri disebabkan mempunyai tugasan yang perlu diselesaikan.

Sudah lama majlis seperti itu tidak dapat diadakan. Merasakan ruang dan juga peluang yang datang hanya sekali, maka al-Fadhil Ustaz Faizol Endut tidak membuang masa yang ada dengan mendahulukan langkahnya membuka satu majlis ringkas yang dipengerusikan sendiri oleh beliau. Agenda majlis disusun dengan baik bermula dengan sedikit ucapan daripada Pengerusi DPMT dan diteruskan dengan sesi taaruf, soal-jawab, pembahagian cenderahati tanda kenang-kenangan dan kalam taujihat daripada al-Fadhil Ust Wan Hadiyuddin Wan Mahmood. Majlis di akhiri dengan jamuan makan dan sesi bergambar.

Antara isi ucapan yang disampaikan al-Fadhil Ustaz Faizol Endut adalah penekanan bahawa program sedemikian mempunyai matlamatnya yang tersendiri yang perlu direalisasikan bersama oleh semua pihak. Antara matlamatnya ialah menjalinkan ukhuwwah Islamiah antara pimpinan DPMT dan ahli walaupun kedua-duanya bejauhan antara satu sama lain dan matlamat seterusnya adalam memastikan kebajikan ahli terjaga.

“Walau pun terpisah antara benua sekali pun, namun ukhuwah Islamiah tetap erat terjalin di antara kita sesama muslim dan mukmin, ujar al-Fadhil Ustaz Faizol Endut.

Oleh : AJKT DPMT

Di hantar pada Wednesday, April 22 @ 20:24:02 MYT oleh admin

0 comments: